Powered By Blogger

Friday, March 11, 2011

HAKIKAT UNTUK JADI MANUSIA ATAU HAIWAN

Cuba kira berapa banyak bintang
untuk malam jadi terang
dan cerlang menyuluh 
bumi.

Kamu akan sangsi
untuk kira atau bilang.

Hakikat
dua kata
tak pernah sama,
bunyi atau makna.

Sama juga,
kritik
atau bidas,
- luhur percaya dengan budi
bukan hasad-ujub dengki
itu bukan manusia jati.

Barangkali
fikir dan pandang jadi kabur
kenal dunia
sebelum tau jalan pulang.

Untuk jawab soal kubur.
.
Ah, manusia sama saja
dengan haiwan.

Sedikit beza
dengan cara
panggil nama orang tua;
Mak atau Bapak!


Thursday, February 24, 2011

Rupanya Tulis Surat Mesti Ada Setem

Rasanya ada beberapa email yang dah dihantar kepada pihak yang berautoriti.
Berkenaan isu dan masalah yang banyak orang ingin tahu.
 
MDS dan Pejabat Daerah Samarahan.

Satupun tak ada maklum balas.

Mungkin mereka mahu surat rasmi. Ada setem gambar Dato Najib.
Lecehlah nak tulis surat guna cara konvensional.
Setem pun dah  RM1 dua puluh sen untuk dua sampul. 

Hantar 10 email pun tak sampai satu hari tunggu sampai. 
Oh,banyak kerja barangkali. 
erm...

HARI DAH SENJA - PATUT AYAM DAH MASUK REBAN

Hari dah senja. 
Anak ayam mesti balik reban.
Lebih lagi bapak ayam.
Induk ayam. Boleh belajar kitab kuning sampai Subuh. Tulisan Jawi. Kalau boleh baca Rumi sikit,buka blog; layan FB.
Hati-hati, merah senja. Bukan boleh buat main-main.
Bahaya. 
Sebab nanti datang pulak Iblis Syaitan.
hasut buat fitnah dosa. 


Kalau dekat kalan tu, baik-baik memancing,
jangan ikut sangat hati. Cakap jangan lepas. Nanti tak pasal-pasal mati lemas.
Tengok orang judi duit, judi nasib; lari jauh-jauh. Tak pasal-pasal tidur lokap SEMINGGU. 
Tapi kalau tak main judi pun, boleh tidur lokap jugak 7 HARI.


Petang sebelum malam, sihatkan tubuh dan jiwa dengan sukan bola.
Tapi hati kena terang bergaul.
Takkan sebab langgar bahu dari belakang, kaki tergesel,
paling teruk pun tackle masa rebut bola - terus masam muka tak bersapa? Esok-esok jumpa balik dekat simpang yang sama. Buat biasa-biasa - macam Fernando Torres jumpa Steven Gerrard kat Stamford Bridge.


Bila ada kenduri, ringankanlah tulang.
Sebab ada manfaat. Biasa aku tengok, puak Timur kurang semangat kalau ada majlis di sebelah Barat.
Ada juga puak dan suku-sakat sesama jurai sengketa? 
Kalau tak suka pun, umpat diam-diam.
Jangan tuding-tuding jari. 


Kalau betul jalan,
mati esok boleh senyum lebar
jumpa Tuhan.


Titik.

Saturday, February 19, 2011

Aksara


Untuk 
aku 
eja 
saya ini pun,
aku 
perlu 
berfikir
dengan 
akal.

Inikan 
pula 
satu
wacana
ilmiah.

Tak 
kisahlah
kalau 
kamu 
tafsir
tanpa akal;
atau
punya
ekspresi
sendiri.

Aku 
mahu
jitu dan persis.

Dalam
menilai,
bukannya 
emosi
melulu atau tohmah
semata.

Kewajaran
setiap 
laku;
cerminan
nilai 
dan 
sahsiah
insan.

Yang 
punya kurnia
Tuhan
Rabbul Jalil
Maha 
Bijaksana.

Aku
sedar,
tiap 
aksara 
yang 
aku catat
ada hitung
kira,
bilang,
eja,
timbang,
sukat,
tanpa
satu
huruf
pun yang tertinggal
atau
tersekat.

Dengan
itu,
tiap
laku,
perlu 
niat,
suci 
dan 
berkat,
kerana-
Nya.

.
.
.
.
.




Monday, February 14, 2011

KATA



Demikian banyak 
kata, aku tak ingin berluka.
Untuk sebuah kekusutan
Iblis!


Yaa Sin dan Ayatul Kursi
takkan lut pada tubuh 
mereka 
yang kebal 
Iblis!

Separuh Dekad Dulu . . .

Lama tak bersua.
Teman sedesa.

Bila bertemu. Sembang sampai embun jantan menitik.

Dalam rancak bersembang, teringat saat masing-masing masih belasan tahun.
Sama-sama hafal lagu nasyid.
Gurunya Abang Hamdan - bekas penyanyi indie band.
Juga penyanyi nasyid yang hebat.

 Lagu Iman dan Amal cukup mencabar untuk kami bawa nama desa berentap di Dewan Suarah Samarahan.
Tapi, atas kerjasama teman-teman, Morni, Cot, Ahoi, Keteng, Arol, Amat dan Ajim, lagu itu membawa tuah. Lebih-lebi lagi Cot yang pernah bertanding peringkat negara.

Akhirnya, kami dinobatkan sebagai Naib Johan.
Beza markah dengan Juara cuma satu markah.

Bagaikan bermimpi, kami semua cukup bersyukur.
Ayahanda Penghulu Awang Jabai tumpang gembira dengan kejayaan itu sebab beliau juga hadir memberikan sokongan.

Alhamdulillah.
Usaha kami berbaloi.

Dengan wang yang ada kami dapat, kami buat sedikit majlis doa selamat - ditambah lagi dengan insentif daripada JKKK.

Bila tiba program Maulid Nabi, kami dijemput untuk perform depan orang desa.
Terima kasih, sudi jemput.

Sekarang ini, aku harapkan masih ada lagi belia yang sanggup teruskan usaha yang kami mulakan.
Untuk buktikan, desa kita tetap hebat!

Thursday, February 10, 2011

"Berjanji Malam Dimakan Tikus, Berjanji Siang Dicakar Ayam"



Sebab dari kecik aku suka dengar cerita orang tua-tua - aku jadi kritis. Menelaah setiap butir bicara mereka dengan imaginasi anak-anak.


Dan juga mula meminati sastera dan budaya sejak kecil.
Satu peribahasa yang aku hafal dari lidah mereka,



"Berjanji malam dimakan tikus, berjanji siang 'dikareh' manok."







Pada mulanya aku sedikit keliru dengan tamsilan Mak Tua aku dan teman-teman. Bila baca banyak buku-buku, baru aku tau rupanya pengamatan mereka begitu teliti. 


Dan bidalan itu, merujuk kepada manusia yang berjanji.


Oh, begitu!


Ada serangkai kisah menarik yang masih lagi segar di ingatanku. Yang aku bawa bersama merentas Laut China Selatan. 


Kisah SAtu.


Pasar Satok macam biasa, sentiasa sibuk. Tapi hari itu, ada beberapa orang pegawai bank yang datang. Mereka datang dengan tujuan. Polisi mereka kali ini membenarkan mana-mana peniaga untuk membuat pinjaman mudah. 


Dengan syarat, mereka mendapat komisen dari setiap orang yang membuat pinjaman perniagaan. Prasyarat amat mudah. Ada surat gerai, ambik gambar sikit, sudah dapat kelulusan. Peniaga yang awalnya tak mahu pinjam pun jadi nak.


Plan mereka awl-awal lagi tak nak bayar. Bukan salah mereka juga. Pegawai itu yang beria-ia benar.


Wang. Siapa yang tak nak? Bukan begitu?


Kisah Dua.


Dewan masyarakat sedikit kecoh.
Walaupun ada anak kecil, tapi orang-orang dewasa lebih banyak bersuara berbanding anak-anak.


Walaupun Parti Cap Kelapa Sawit menang mengalahkan Dacing, tapi kerajaan masih lagi sudi bagi peruntukan dari Persekutuan. Bukan sikit. Juta-juta.


Dan kalangan yang hadir hari itu sebab ada Mesyuarat Agong bagi penggal berakhir 2006 - serta beberapa isu berbangkit.


Suasana jadi kecoh apabila wujud contradicting demands. Percanggahan tuntutan yang memerlukan undian sebagai alternatif.


Tapi jauh sebelum itu, sudah ada keputusan yang dibuat. Yang jelas membelakangi pihak berautoriti. Maksudnya sudah ada pungutan tandatangan sebilangan penduduk desa telah dibuat.


"Bukanlah kita nak menidakkan sumbangan FELCRA kepada desa kita. Kalau tak ada FELCRA, mana mungkin desa kita ada jalan berturap."


Satu suara mencelah.


"Apapun, kita harus akui, bahawa IADP itu agensi kerajaan sepenuhnya. Bantuan semuanya adalah percuma. Dan FELCRA pula pihak swasta. Yang dijana adalah keuntungan sepenuhnya. Lagi pula, PELITA akan masuk sebagai orang tengah yang buat duit atas angin."


"Dah berpuluh tahun mereka mengaut hasil, berapa saja dividen yang kita dapat?"


Aku yang berdiri mula mengatur kertas undi yang akan dibuat sebagai kata putus pertikaian tersebut. Tugas aku setakat di situ selain turut membuat undian.


Janji awal mereka, setelah undian dibuat, semua akan akur pada keputusan terbanyak.


Dan setelah itu, sebulat suara telah memilih IADP sebagai alternatif.


Tapi, sebilangan daripada mereka keluar dewan mesyuarat. Tanda protes. 


Aku yang masih berdiri cuma mampu memandang dari tepi.


Natijah daripada protes itu, keputusan akhir tidak dapat dibuat kerana menurut hukum mesyuarat, bilangan yang hadir dan mengundi perlu dicatat secara rasmi dalam minit mesyuarat bagi tujuan pengesahan.


Yang berlaku sebaliknya.


Selepas itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi meletak jawatan secara sukarela sebagai menghormati demokrasi - termasuk aku. 


Hingga hari ini, segala sumbangan mereka masih lagi terpahat dalam lipatan sejarah.


Tapi kini, kalian bunuh demokrasi yang suatu ketika hidup subur.


Penutup.
Dari dua kisah di atas, sama-sama kita muhasabah. Barangkali dapat belajar, mengenal kaca dan permata.


Lagi satu, masyarakat kita sinonim dengan istilah, 
"Janji Melayu".


Catatan penulis: Dari pengalaman sebenar penulis dan sumber.


Titik.


.