Powered By Blogger

Tuesday, January 3, 2012

SEJARAH DESA SEPUTAR KISAH KENANGAN - SALAM TAHUN BARU DUA-RIBU-DUABELAS

Menjadi yang lantang dan benar selalunya amat payah. Ini percaturan dunia. Meski kita sebagai manusia tidak pernah sempurna, sekurang-kurangnya berusaha untuk menegakkan panji-panji kebenaran.

Kesibukan masa kuliah dan aktiviti kampus membuat diri ini kurang menulis. Begitulah. Waktu di dunia hari ini terasa begitu singkat dan pendek. Sama seperti kita menyebut umur dunia; DUA-RIBU-DUABELAS kurang beberapa saat lancar di hujung lidah yang melafazkannya. Walhal DUA-RIBU-DUABELAS itu detik masa yang cukup panjang jika difahami dengan akal manusia biasa. 


Aku terkesan dengan peribahasa berikut,
"Seluruh pelosok dikerah menarah bukit. Bukit tinggi hutan belantara. Hati perih tidak terkata. Ditarah bukit melandai tanah. Diharap tanah berbudi ke tuan. Dari hutan jadi ke ladang. Subur berbakti tidak kepalang. Biar diagih hasil dituai. Harap saksama keringat dicurah. Namun tidak bagai diharap. Sama berlumpur sama berhujan. Yang beremas orang terpilih. Yang dibibir orang terpuji. Yang meraih orang sejari, walhal yang bersungguh sekampung selaman..."
Lalu aku terkenang suatu masa dahulu. Ketika masih menuntut di bangku sekolah. Umur 10 tahun. Aku belajar subjek Kajian Tempatan daripada Cikgu Selai Abi. Penolong kanan sekolah kalau tak silap. Tugasan yang perlu disiapkan ialah membuat peta desa dan mengkaji salasilah desa tercinta. Dan aku mengambil keputusan untuk membuat kajian ini dengan mewawancara orang-orang tua desa.

Antaranya Pak Haji Mat, Haji Kochet, Tuan Imam Haji Sanyut dan menantu tiri almarhum nendaku sendiri arwah Haji Tol Yahya. Aku sendiri kurang mengerti, entah di mana aku punya keberanian untuk berhadapan dengan mereka semua. Sama seperti ketika aku pertama kali bertentang empat mata dengan wakil rakyat DUN Asajaya, YB Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Aku simpulkan cerita, aku mula kenal desa aku sendiri. Sejarah pembukaannya yang serupa dengan negeri Melayu yang mahsyur - berasal dari pokok Ma'ang yang dilihat hanyut di sebatang anak sungai (suatu ketika dahulu anak sungai itu masih ada di sebelah rumah guru besar, Cikgu Yusup Mahli; dan begitu hampir di rumah  bujang Ustaz  Faris Ghazali, ustaz muda yang tampan dari negeri Jelapang Padi). Yang pasti tempat itu letaknya di hadapan padang bola sekolah rendah. Petempatan 'orang asal' desa Mang bukanlah seperti yang ada pada masa sekarang. Tetapi bermula di Lubuk Lipat. Petempatan awal diteroka oleh Haji Ahet. 
Sekadar yang aku ingat, itulah sejarahnya. Waktu itu warganya tidak seramai yang ada hari ini. Dan sekalian penduduk desa begitu akrab muhibahnya. Saling memerlukan satu sama lain; menjala mulu di hulu sungai Lubuk Enyan, berdoyo mengerjakan padi huma, memunggah kayu api di hutan tua dan sekalian banyak perkara memerikan semangat kerjasama yang tulus ikhlas. Itu kekaguman aku yang tak terhingga terhadap mereka.
Kiraanku sejarah desa ini masih baru, sekitar awal abad ke-19. Paling tidak sekitar tahun 1910. Sebelum meletusnya perang dunia ke-2. Dan sewaktu pendudukan Jepun di Sarawak dan Malaya penduduk desa awal mulai bertambah. Dan almarhum nendaku sudah jadi gadis sunti ketika itu. Dikejar jantan Jepun yang buas dan berperwatakan ganas. Ketika itu rumah pasung Jepun sudah ada di Kampung Siniawan, seberang desa Mang. 
Dan kini, desa sudah berubah sejajar dengan perubahan zaman yang beredar. Begitu juga dengan ekonomi dan politiknya. Ekonomi desa dahulunya bermula dengan tanaman kontan seperti getah, pisang, nanas, dan lain-lain. Tetapi kemudiannya, kelapa sawit telah memonopoli jajaran ekonomi desa. Sekitar awal tahun 90-an melalui FELCRA BERHAD. Guru-guru hebat di SK Mang sendiri saksinya; datang ketika anak kelapa sawit masih kecil hingga hasilnya sudah boleh dituai. Dan ada di antara mereka sudahpun berhijrah ke desa halaman. 
Natijah yang paling besar, desa sudah memiliki jalan perhubungan darat. Sebagai catatan, ketika darjah 2 (kalau tak silap), aku, Rasyid Salem dan seorang lagi teman yang aku dah lupa nama pernah diupah oleh taukey yang mendapat kontrak membuka jalan darat desa untuk menggolek tong minyak (tong drum) pada semak-samun depan pintu gerbang desa. Upahnya makan tengah hari dan rm1.50sen. Itu pengalaman yang aku tak pernah lupa. Mengapa aku yang terpilih dalam rentetan sejarah ini? Aku kurang pasti maknanya. 
Waktu aku itu sengaja lepak bersama mereka di jeti seberang sungai. Menunggu kalau-kalau ada pak tambang yang memerlukan khidmat menimba air perahu (air wang gelarannya) dan mendapat upah 20 sen. Paling banyak boleh dapat 50-70 sen sehari suntuk. Ya, aku ingat lagi. Hari itu, ada kenduri di desa dan hari itu juga giliran arwah Pak Tawi menambang perahu. Aku dan teman 'cuba-cuba' kalau ada pelanggan yang tersangkut. 
Dan politik desa hari ini tak banyak berubah. lebih kurang sama macam dulu-dulu. Dacing masih mendominasi fahaman kepala dan anak-anak buah. Politik jasa-budi-bakti masih mekar berakar umbi. Tak apa, selagi kemajuan dan pendidikan untuk anak desa terpelihara sewajarnya; itu sudah memadai. Sekurang-kurangnya buat masa ini. 
Begitu juga dengan struktur masyarakat; pembahagian kawasan untuk satu-satu generasi masih serupa. Di hulu dengan komuniti awang (tak kisah sama ada gelaran awang saja' atau awang asli menurut kata nendaku - awang saja' digelar kepada mereka yang berketurunan biasa tetapi berkahwin dengan keturunan dayang dan anak yang lahir diberikan pangkal nama 'Awang' juga) dan tengah serta hilir juga sama. Ini hakikat daripada sejarah penghijrahan pembukaan semula desa suatu ketika dahulu. Terkecuali pembinaan semula petempatan baru di lot baharu, ladang sawit lama yang sudah dibahagi-bahagikan kepada warga desa yang bertuah. 
Semoga perbezaan pendapat antara kita tidak sesekali meranapkan segala harapan dan impian sekalian anak desa. Begitulah hendaknya. Agar kita menghargai muhibah yang terbina sekalian dekad. Dan usia desa kita rasanya cukup dewasa untuk mengharungi cabaran yang mendatang. 
Aku menulis dan bercakap kerana aku yakin, suatu hari nanti akan ada anak desa kita yang membaca dan cuba memahami sejarah perjalanan lampau sekalian warganya.Hari ini bermula dari semalam dan sejarahnya. Ini adalah hakikat yang tak mampu kita nafikan. Aku dan anda sekalian adalah sebahagian daripada sejarah. Moga-moga, akan ada anak desa kita yang mampu melakar sejarah baharu sekaligus mengangkat nama desa di persada kemegahan. 
Ini sekadar ekspresi jiwa daripada generasi baharu yang terdidik dan membesar di sebuah desa kecil; dan kaya dengan sejarah kemanusiaannya. Bagaimana anda memahami dan mengerti; terpulang bagaimana anda melihat dengan mata hati yang jujur minda yang luhur.

Friday, August 19, 2011

Siasat penguat kuasa DBKU

Utusan Malaysia

18.08.11 (Ruangan Forum@pendapat)

TIDAK seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain, anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sejak akhir- akhir ini dilihat seolah-olah bertindak tanpa pertimbangan yang wajar.

Malah, insiden yang berlaku pada petang Khamis, 4 Ogos (4 Ramadan) yang lalu menjadi bukti.
Ketika insiden petang tersebut berlaku, mereka bertindak merampas barang jualan (buah durian) seorang peniaga di hadapan bangunan Wisma Bapa Malaysia, Kuching tanpa melalui prosedur yang betul dan sah.

Saya juga mendapati mereka tidak mengeluarkan sebarang surat kuasa mahupun notis kepada beliau untuk mengesahkan penyitaan/rampasan tersebut.

Persoalannya di sini, adakah anggota penguat kuasa ini ‘berkuasa’ bertindak sedemikian rupa ataupun sekadar ingin menindas nasib peniaga kecil yang ingin mencari sesuap nasi? 

Justeru, saya ingin menarik perhatian pihak Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kawal Selia (Bahagian Penguat kuasa) agar menyiasat perkara ini secara menyeluruh dan terperinci bagi menghindari penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu mahupun individu berkepentingan.

Tuesday, May 10, 2011

Fitnah

Bagi mereka yang melihat bahawa fitnah akhir zaman sudah serupa permainan. Dan politik Malaysia semakin jijik apabila TV3 dan Utusan menjadikan perkara ini sebagai senjata utama untuk menjatuhkan kekuatan dan kemaraan Pakatan Rakyat - melakukan perubahan.

Anda sendiri yang menilai. Apa implikasinya..

http://panglima-harimau.blogspot.com/2011/05/panas-berapi-jom-saksikan-video-seks.html

Friday, May 6, 2011

KABINET BAYANGAN PAKATAN RAKYAT

KUCHING: Barisan pe-mimpin pakatan pembangkang dalam ‘kabinet bayangan’ diingatkan agar menyuarakan sesuatu yang bersifat membina demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat tetapi bukan untuk kepentingan politik.
Menteri di Pejabat Ke-tua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, perkara-perkara yang diutarakan dan diputar-belitkan untuk kepentingan politik tidak akan mendatangkan manfaat kepada rakyat.
“Kabinet bayangan bukan sesuatu yang baru, ia dipraktikkan di tempat-tempat lain di dunia ini.
“Bagi saya yang perlu diingatkan apa-apa yang dikritiskan misalnya dari segi perbahasan terutama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) perlulah sesuatu yang bersifat membina iaitu berlandaskan fakta,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan kabinet bayangan dengan melantik Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Wong Ho Leng sebagai ketua pembangkang negeri.
Semalam akhbar menyiarkan, pakatan pembangkang mengumumkan barisan kabinet bayangan bagi memantau prestasi menteri-menteri dan menteri muda di Sarawak berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Fatimah dengan perbahasan yang membina ia juga memperbaiki keadaan, kelemahan, memberi maklumat dengan tujuan ikhlas iaitu mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan masa kini.
Katanya sistem penyam-paian yang lebih baik, cekap, efisien di mana kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah merupakan perkara utama yang harus ditekankan.
“Jika itu atau perbahasan berlandaskan niat (kepen-tingan rakyat) tersebut, berlandaskan kepada fakta dan bukan sebab kepentingan politik..kita alukan kerana selepas ini semua ia pasti sesuatu yang kita mahukan.
“Kita mahu kemajuan memberi manfaat kepada rakyat tidak ada yang lain…untuk kesejahteraan, kemajuan dan kebajikan rakyat kita,” tegas Fatimah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat, terdahulu menyampaikan cek geran MRP2011 kepada tujuh penerima iaitu Wisma Hikmah, Sekolah Kebangsaan (SK) St Theresa, Persatuan Wanita India Sarawak, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Masjid Darul Iman Kampung Sri Arjuna dan Kelab Kebudayaan Jasmani Ho Soon dengan jumlah keseluruhan RM73,000.

UTUSAN SARAWAK

Monday, May 2, 2011

TANAH LOT

Ketua-ketua kampung juga tidak mempunyai kuasa mengesahkan urusan jual beli tanah berstatus tol : Karim


ASAJAYA: Pemilik tanah lot yang masih berstatus ‘tanah tol’ dinasihatkan agar tidak menjual tanah tersebut, pesan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah. Beliau yang juga penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya berkata, sebarang urusan jual beli tanah terbabit adalah tidak sah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Selagi tanah itu masih berstatus tol, belum diberikan geran, ia (tanah tol) tidak boleh dijual kepada sesiapa pun,” katanya.
Beliau berkata demikan semasa berucap pada majlis penyerahan surat tawaran skim pembesaran Kampung Sebandi Matang/Ulu di sini semalam.
Jelasnya, ketua-ketua kampung juga tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan urusan jual beli tanah tol tersebut.
“Ia adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana ketua kampung untuk mengesahkan jual beli tanah ini kerana ia melanggar undang-undang pemilikan tanah tersebut,” tambahnya.
Pada masa sama, Karim turut menasihatkan agar pemilik-pemilik yang telah diberikan tanah tol membina rumah di atas tanah tersebut dalam tempoh yang ditetap¬kan.
Katanya, jika pemilik tidak membina rumah di atas tanah tersebut, kemungkinan tanah itu akan diambil semula oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).


“Pihak JTS telah memberi satu tempoh yang panjang iaitu tiga tahun untuk membina rumah, dan jika tidak dibina dalam tempoh itu, tambahan selama dua tahun juga diberikan supaya pemilik mempunyai peruntukan untuk membina rumah mereka."

“Jika tidak dibina juga, tanah tersebut akan diambil balik dan diberikan kepada pemohon-pemohon lain kerana banyak penduduk lain mahu tanah ini,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, seramai 46 orang ditawarkan surat dalam skim pembesaran kampung yang mana keseluruhan lot di kawasan itu kini berjumlah 310 lot.
Hadir sama Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Taib Belal, wakil Pegawai Daerah Asajaya Norlizawati Gobil, Penghulu Kampung Sebandi Matang Osman Ayok, Ketua Kampung Hassan Sanusi dan tetamu kehormat lain.

SUMBER: UTUSAN SARAWAK

Wednesday, March 30, 2011

Rumah Terbakar



Lampu dinyalakan/adegan bermula
Latar: ruang tamu/
Masa: petang






"Kau buat saja laporan, rumah mak kau terbakar. Katakan surat tanah rumah kau dah hangus sekali. Nanti aku atau Haji boleh tolong sahkan."
"Boleh pulak macam tu?"
"Ish... kalau nak ikut cara betul, susah. Rumit. Banyak kerja. Sijil mati, pengesahan adik-beradik. Itupun kalau mereka setuju. Bila buat macam ni, nanti semua tak berani bising."
"Mudahnya. Tak salahkah?"
"A'ah. Bukan susahpun. Lepas tu nanti, hulurlah duit kopi seratus dua ratus pada orang atas. Senang kerja."


"Aku nak tau tentang cerita tanah kubur. Tapak rumah pusaka ni tak apalah dulu. Nanti-nanti aku boleh selesaikan."


Riak wajahnya berubah. 
Hening mencengkam ruang. Berpadu sepi. Tapi hati masih panas. Radang.


cut/.

Friday, March 11, 2011

HAKIKAT UNTUK JADI MANUSIA ATAU HAIWAN

Cuba kira berapa banyak bintang
untuk malam jadi terang
dan cerlang menyuluh 
bumi.

Kamu akan sangsi
untuk kira atau bilang.

Hakikat
dua kata
tak pernah sama,
bunyi atau makna.

Sama juga,
kritik
atau bidas,
- luhur percaya dengan budi
bukan hasad-ujub dengki
itu bukan manusia jati.

Barangkali
fikir dan pandang jadi kabur
kenal dunia
sebelum tau jalan pulang.

Untuk jawab soal kubur.
.
Ah, manusia sama saja
dengan haiwan.

Sedikit beza
dengan cara
panggil nama orang tua;
Mak atau Bapak!