Powered By Blogger

Monday, May 2, 2011

TANAH LOT

Ketua-ketua kampung juga tidak mempunyai kuasa mengesahkan urusan jual beli tanah berstatus tol : Karim


ASAJAYA: Pemilik tanah lot yang masih berstatus ‘tanah tol’ dinasihatkan agar tidak menjual tanah tersebut, pesan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah. Beliau yang juga penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya berkata, sebarang urusan jual beli tanah terbabit adalah tidak sah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Selagi tanah itu masih berstatus tol, belum diberikan geran, ia (tanah tol) tidak boleh dijual kepada sesiapa pun,” katanya.
Beliau berkata demikan semasa berucap pada majlis penyerahan surat tawaran skim pembesaran Kampung Sebandi Matang/Ulu di sini semalam.
Jelasnya, ketua-ketua kampung juga tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan urusan jual beli tanah tol tersebut.
“Ia adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana ketua kampung untuk mengesahkan jual beli tanah ini kerana ia melanggar undang-undang pemilikan tanah tersebut,” tambahnya.
Pada masa sama, Karim turut menasihatkan agar pemilik-pemilik yang telah diberikan tanah tol membina rumah di atas tanah tersebut dalam tempoh yang ditetap¬kan.
Katanya, jika pemilik tidak membina rumah di atas tanah tersebut, kemungkinan tanah itu akan diambil semula oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).


“Pihak JTS telah memberi satu tempoh yang panjang iaitu tiga tahun untuk membina rumah, dan jika tidak dibina dalam tempoh itu, tambahan selama dua tahun juga diberikan supaya pemilik mempunyai peruntukan untuk membina rumah mereka."

“Jika tidak dibina juga, tanah tersebut akan diambil balik dan diberikan kepada pemohon-pemohon lain kerana banyak penduduk lain mahu tanah ini,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, seramai 46 orang ditawarkan surat dalam skim pembesaran kampung yang mana keseluruhan lot di kawasan itu kini berjumlah 310 lot.
Hadir sama Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Taib Belal, wakil Pegawai Daerah Asajaya Norlizawati Gobil, Penghulu Kampung Sebandi Matang Osman Ayok, Ketua Kampung Hassan Sanusi dan tetamu kehormat lain.

SUMBER: UTUSAN SARAWAK