Powered By Blogger

Tuesday, January 3, 2012

SEJARAH DESA SEPUTAR KISAH KENANGAN - SALAM TAHUN BARU DUA-RIBU-DUABELAS

Menjadi yang lantang dan benar selalunya amat payah. Ini percaturan dunia. Meski kita sebagai manusia tidak pernah sempurna, sekurang-kurangnya berusaha untuk menegakkan panji-panji kebenaran.

Kesibukan masa kuliah dan aktiviti kampus membuat diri ini kurang menulis. Begitulah. Waktu di dunia hari ini terasa begitu singkat dan pendek. Sama seperti kita menyebut umur dunia; DUA-RIBU-DUABELAS kurang beberapa saat lancar di hujung lidah yang melafazkannya. Walhal DUA-RIBU-DUABELAS itu detik masa yang cukup panjang jika difahami dengan akal manusia biasa. 


Aku terkesan dengan peribahasa berikut,
"Seluruh pelosok dikerah menarah bukit. Bukit tinggi hutan belantara. Hati perih tidak terkata. Ditarah bukit melandai tanah. Diharap tanah berbudi ke tuan. Dari hutan jadi ke ladang. Subur berbakti tidak kepalang. Biar diagih hasil dituai. Harap saksama keringat dicurah. Namun tidak bagai diharap. Sama berlumpur sama berhujan. Yang beremas orang terpilih. Yang dibibir orang terpuji. Yang meraih orang sejari, walhal yang bersungguh sekampung selaman..."
Lalu aku terkenang suatu masa dahulu. Ketika masih menuntut di bangku sekolah. Umur 10 tahun. Aku belajar subjek Kajian Tempatan daripada Cikgu Selai Abi. Penolong kanan sekolah kalau tak silap. Tugasan yang perlu disiapkan ialah membuat peta desa dan mengkaji salasilah desa tercinta. Dan aku mengambil keputusan untuk membuat kajian ini dengan mewawancara orang-orang tua desa.

Antaranya Pak Haji Mat, Haji Kochet, Tuan Imam Haji Sanyut dan menantu tiri almarhum nendaku sendiri arwah Haji Tol Yahya. Aku sendiri kurang mengerti, entah di mana aku punya keberanian untuk berhadapan dengan mereka semua. Sama seperti ketika aku pertama kali bertentang empat mata dengan wakil rakyat DUN Asajaya, YB Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Aku simpulkan cerita, aku mula kenal desa aku sendiri. Sejarah pembukaannya yang serupa dengan negeri Melayu yang mahsyur - berasal dari pokok Ma'ang yang dilihat hanyut di sebatang anak sungai (suatu ketika dahulu anak sungai itu masih ada di sebelah rumah guru besar, Cikgu Yusup Mahli; dan begitu hampir di rumah  bujang Ustaz  Faris Ghazali, ustaz muda yang tampan dari negeri Jelapang Padi). Yang pasti tempat itu letaknya di hadapan padang bola sekolah rendah. Petempatan 'orang asal' desa Mang bukanlah seperti yang ada pada masa sekarang. Tetapi bermula di Lubuk Lipat. Petempatan awal diteroka oleh Haji Ahet. 
Sekadar yang aku ingat, itulah sejarahnya. Waktu itu warganya tidak seramai yang ada hari ini. Dan sekalian penduduk desa begitu akrab muhibahnya. Saling memerlukan satu sama lain; menjala mulu di hulu sungai Lubuk Enyan, berdoyo mengerjakan padi huma, memunggah kayu api di hutan tua dan sekalian banyak perkara memerikan semangat kerjasama yang tulus ikhlas. Itu kekaguman aku yang tak terhingga terhadap mereka.
Kiraanku sejarah desa ini masih baru, sekitar awal abad ke-19. Paling tidak sekitar tahun 1910. Sebelum meletusnya perang dunia ke-2. Dan sewaktu pendudukan Jepun di Sarawak dan Malaya penduduk desa awal mulai bertambah. Dan almarhum nendaku sudah jadi gadis sunti ketika itu. Dikejar jantan Jepun yang buas dan berperwatakan ganas. Ketika itu rumah pasung Jepun sudah ada di Kampung Siniawan, seberang desa Mang. 
Dan kini, desa sudah berubah sejajar dengan perubahan zaman yang beredar. Begitu juga dengan ekonomi dan politiknya. Ekonomi desa dahulunya bermula dengan tanaman kontan seperti getah, pisang, nanas, dan lain-lain. Tetapi kemudiannya, kelapa sawit telah memonopoli jajaran ekonomi desa. Sekitar awal tahun 90-an melalui FELCRA BERHAD. Guru-guru hebat di SK Mang sendiri saksinya; datang ketika anak kelapa sawit masih kecil hingga hasilnya sudah boleh dituai. Dan ada di antara mereka sudahpun berhijrah ke desa halaman. 
Natijah yang paling besar, desa sudah memiliki jalan perhubungan darat. Sebagai catatan, ketika darjah 2 (kalau tak silap), aku, Rasyid Salem dan seorang lagi teman yang aku dah lupa nama pernah diupah oleh taukey yang mendapat kontrak membuka jalan darat desa untuk menggolek tong minyak (tong drum) pada semak-samun depan pintu gerbang desa. Upahnya makan tengah hari dan rm1.50sen. Itu pengalaman yang aku tak pernah lupa. Mengapa aku yang terpilih dalam rentetan sejarah ini? Aku kurang pasti maknanya. 
Waktu aku itu sengaja lepak bersama mereka di jeti seberang sungai. Menunggu kalau-kalau ada pak tambang yang memerlukan khidmat menimba air perahu (air wang gelarannya) dan mendapat upah 20 sen. Paling banyak boleh dapat 50-70 sen sehari suntuk. Ya, aku ingat lagi. Hari itu, ada kenduri di desa dan hari itu juga giliran arwah Pak Tawi menambang perahu. Aku dan teman 'cuba-cuba' kalau ada pelanggan yang tersangkut. 
Dan politik desa hari ini tak banyak berubah. lebih kurang sama macam dulu-dulu. Dacing masih mendominasi fahaman kepala dan anak-anak buah. Politik jasa-budi-bakti masih mekar berakar umbi. Tak apa, selagi kemajuan dan pendidikan untuk anak desa terpelihara sewajarnya; itu sudah memadai. Sekurang-kurangnya buat masa ini. 
Begitu juga dengan struktur masyarakat; pembahagian kawasan untuk satu-satu generasi masih serupa. Di hulu dengan komuniti awang (tak kisah sama ada gelaran awang saja' atau awang asli menurut kata nendaku - awang saja' digelar kepada mereka yang berketurunan biasa tetapi berkahwin dengan keturunan dayang dan anak yang lahir diberikan pangkal nama 'Awang' juga) dan tengah serta hilir juga sama. Ini hakikat daripada sejarah penghijrahan pembukaan semula desa suatu ketika dahulu. Terkecuali pembinaan semula petempatan baru di lot baharu, ladang sawit lama yang sudah dibahagi-bahagikan kepada warga desa yang bertuah. 
Semoga perbezaan pendapat antara kita tidak sesekali meranapkan segala harapan dan impian sekalian anak desa. Begitulah hendaknya. Agar kita menghargai muhibah yang terbina sekalian dekad. Dan usia desa kita rasanya cukup dewasa untuk mengharungi cabaran yang mendatang. 
Aku menulis dan bercakap kerana aku yakin, suatu hari nanti akan ada anak desa kita yang membaca dan cuba memahami sejarah perjalanan lampau sekalian warganya.Hari ini bermula dari semalam dan sejarahnya. Ini adalah hakikat yang tak mampu kita nafikan. Aku dan anda sekalian adalah sebahagian daripada sejarah. Moga-moga, akan ada anak desa kita yang mampu melakar sejarah baharu sekaligus mengangkat nama desa di persada kemegahan. 
Ini sekadar ekspresi jiwa daripada generasi baharu yang terdidik dan membesar di sebuah desa kecil; dan kaya dengan sejarah kemanusiaannya. Bagaimana anda memahami dan mengerti; terpulang bagaimana anda melihat dengan mata hati yang jujur minda yang luhur.